Saturday, April 27, 2013

Apakah kaitan APS, AMANAH, dan AMANAH Sabah?



Amanah (Angkatan Amanah Merdeka) adalah sebuah NGO ditubuh oleh orang kuat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada 2011.  AMANAH adalah sebuah pertubuhan yang masih mengekalkan prinsip-prinsip perjuangan UMNO ala Semangat 46. Ku Li adalah sangat veteran dalam kong kalikong politik dan merupakan orang BN tegar seumur hidup walaupun pernah menubuhkan parti Semangat 46 satu waktu dahulu. Apabila sama-sama orang BN berbincang dan berstrategi maka ukurannya ialah sama ada menguntungkan BN atau tidak di masa hadapan. Oleh itu rakyat bawahan seperti anda dan saya mesti menyingkap dalang yang menaja dan menjanjikan kemewahan yang berganda-ganda besarnya kepada Lajim dan Bumburing sehingga sanggup menyertai PR.

Calon 'boleh menang' jadi ukuran Anwar dalam PRU13 sehingga menolak calon-calon yang dikemukakan oleh PKR Sabah. Tetapi kesilapan paling besar Anwar dalam pilihanraya kali ini ialah kerana menerima bulat-bulat calon-calon yang dikemukakan oleh Lajim dan Bumburing tanpa bertanya kepada cabang terlebih dahulu. Bukankah selama ini beliau memberikan sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada cabang-cabang yang menghormatinya dan setia berjuang dalam susah dan senang selama 14 tahun di Sabah? Lajim mungkin boleh menang, Bumburing belum tahu.Tapi calon-calon yang mereka pilih alahai...


Wilfrred Bumburing yang mengetuai APS Sabah adalah juga Pengerusi Amanah di Sabah, merangkap Timbalan Pengerusi Amanah Malaysia.  Ahli-ahli Amanah di Tuaran antaranya ialah, Monggoh Orow (Timbalan Pengerusi Amanah Sabah), Mohd Fairuz Bandar (Naib Pengerusi Amanah Tuaran), Haji Awang Puasa Jambul (Ketua Penerangan Amanah Tuaran), Haji Ghulabdin Enjih (Pengerusi Amanah Kawasan Sulaman) dan Ramli Akim sebagai setiausaha. Kini kesemua mereka bersatu dalam APS atas nama Amanah.
Peliknya, Wilfred Bumburing menganggap dirinya sebagai pencetus gerakan revolusi di Sabah dengan slogan ‘TUKARRR’…Tukar kepada apa kalau calonnya masih orang yang sama bertanding pada tahun 2008 dahulu? Apa yang kita tahu, beliau adalah Timbalan pengerusi AMANAH Malaysia dan Pengerusi Amanah Sabah.  Ini bererti, Wilfred Bumburing masih menjadi hamba kepada ketuanan politik UMNO dan semua calon-calon yang di pasang oleh APS bertanding atas tiket Parti KeADILan Rakyat bukanlah para pemimpin yang ikhlas dengan perjuangan keAdilan.

Tidak pernah dalam sejarah Sabah dimana sebuah NGO atau Pertubuhan Bukan Kerajaan, boleh diberi laluan untuk bertanding dalam pilihanraya.  Keputusan pucuk pimpinan PKR menerima mereka tanpa was was  telah mengenepikan agenda otonomi ataupun agenda untuk memperkasakan lagi suara rakyat Sabah kerana tidak menghargai usaha Cabang KeAdilan Tuaran dengan memberi laluan kepada Wilfred Bumburing menjadi calon di Parlimen Tuaran dan DUN Tamparuli.  Wilfred Bumburing bukan ahli PKR yang sah dan beliau tidak masuk jadi ahli! Adakah ini bermakna APS/AMANAH akan bergabung menubuhkan sebuah parti baru selepas PRU-13?